Al-Kisah Menyentuh Anjing dan Sensitiviti Umat Melayu

Umat Islam di Malaysia kebanyakannya berpegang kepada Mazhab Shafie yang berpendapat bahawa anjing adalah najis. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa terdapat perbezaan pendapat antara ulama mengenai hukum sama ada anjing adalah najis. Ada baiknya para ustaz dan ustazah yang mengajar hukum fiqh menerangkan pendapat daripada berbagai ulama’ dan mazhab supaya umat Melayu lebih celik akal. Sila tonton video di bawah yang menerangkan perbezaan pendapat antara mazhab.

Mungkin kejahilan mengenai perbezaan pendapat inilah yang menyebabkan berlaku ‘huru-hara’ apabila berlangsung acara ‘I Want to Touch a Dog’ (IWTTAD). Tujuan acara ini adalah untuk pembelajaran dan memberi penerangan mengenai anjing kepada mereka yang takut dengan anjing dan cara-cara untuk menyelamatkan anjing. Sila tonton video berikut di mana salah seorang penganjur acara tersebut, iaitu Syed Azmi, memberi penerangan mengenai tujuan acara tersebut dijalankan.


Saya tahu mengenai acara tersebut melalui media sosial lebih kurang dua minggu sebelum acara berlangsung. Saya tidak mengenali Syed Azmi secara peribadi (tak pernah berjumpa beliau pun), tetapi saya tahu yang beliau aktif menganjurkan program-program amal melalui berita yang dikongsi oleh rakan-rakan.

Setelah acara tersebut berlangsung, gambar-gambar mereka yang hadir di acara tersebut menyentuh anjing telah tersebar di media sosial. Maka berduyun-duyunlah umat Islam Malaysia yang sangat sensitif merasa terhina lantas melenting marahkan penganjur yang menurut mereka telah melanggar hukum Islam.

Saya tidak berminat untuk memihak atau membela penganjur IWTTAD, tetapi saya rasa sangat kesal melihat gelagat umat Melayu mencerca dan menghina Syed Azmi.

Apa pun kesalahan beliau, beliau boleh ditegur secara berhemah dan bersopan, bukannya dicerca dengan berbagai kata-kata kesat. Saya rasa geli hati bercampur sedih melihat komen-komen mereka yang sangat celupar memaki-hamun Syed Azmi di media sosial — mereka ini kononnya amat bersemangat mahu mempertahankan hukum Islam, tetapi cara mereka menulis tidak mencerminkan akhlak Muslim.

Mungkin tak terlintas di akal sempit mereka bahawa gelagat mereka di media sosial diperhatikan juga oleh golongan bukan Muslim. Saya yakin mereka tidak pernah terfikir natijah keceluparan mereka yang dipertontonkan kepada bukan Muslim.

Bak kata seorang kawan, “Sentuh anjing boleh samak, beb. Yang lelaki perempuan bukan mahram berpegang berpeluk tu nak samak dengan apa?” Umat Melayu memang sangat sensitif mengenai halal haram yang melibatkan anjing dan khinzir, tapi maksiat yang berleluasa di depan mata setiap hari boleh pula buat tak nampak. Agaknya sebab dah jadi biasa maka dah lali dan dah tak sensitif lagi.

Syed Azmi sangat aktif menganjurkan program-program amal untuk membantu golongan yang memerlukan. Agaknya dah beratus orang yang beliau bantu melalui program-program tersebut. Soalan saya kepada mereka yang sangat lancang mencerca beliau: Dah berapa banyak program amal yang anda anjur dan dah berapa ribu orang yang anda tolong? Daripada kumpul dosa memaki-hamun orang, lebih baik fikir bagaimana nak kumpul pahala dengan menolong golongan yang memerlukan.



Berkaitan:

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply