Ingat Rogol Perkara Main-main?

Jam sudah lewat sepuluh malam. Saya buka tv. Drama Melayu. Adegan seorang pembantu rumah merayu majikan supaya mengahwinkan anak lelaki mereka yang telah merosakkan anak gadisnya yang kini telah hamil.

Yang terlintas di fikiran saya adalah, bangangnya si emak. Anak dirogol, bukannya dia buat laporan polis tapi minta perogol kahwin dengan anak dia. Nak anak trauma seumur hidup? Kemudian saya terfikir, bangang lagi si penulis skrip dan pengarah drama. Kemudian saya mencongak-congak dah berapa banyak drama sedemikian.

‘Ariana Rose’ — si gadis dirogol dan kemudian jatuh hati dengan perogol bergelar Tengku. ‘Gemersik Kalbu’ — si hero menggunakan tipu muslihat supaya gadis idaman menyangka dia telah dirogol dan kemudian mendesak si gadis supaya bersetuju untuk mengahwininya. ‘Mencintaimu’ — si gadis anak orang gaji yang jatuh cinta dengan anak majikan ibunya menyangka dia telah dirosakkan oleh anak orang kaya itu tetapi masih tetap mencintainya walau pun telah bertahun berlalu.

Saya tertanya-tanya apa agaknya yang bermain di fikiran penulis skrip dan pengarah yang mengetengahkan drama dengan jalan cerita demikian. Mereka fikir rogol perkara main-main? Suka-suka? Romantik? Pernah tak mereka buat kajian mengenai trauma dan bebanan emosi yang ditanggung oleh mangsa rogol?

Sedang masyarakat kita dilanda pelbagai gejala sosial, apa pesanan tersirat yang penulis skrip dan pengarah drama Melayu mahu sampaikan kepada generasi muda dengan jalan cerita karut-marut begini? Adakah yang mahu disampaikan adalah rogol ini perkara kecil saja, no hal? Lepas dah rogol, kahwinlah dengan gadis tersebut yang pasti akan terus cinta mati pada si perogol hingga hujung nyawa?

Dari masa ke semasa kita dihidangkan berita bayi baru lahir dibuang di dalam tong sampah, longkang, sungai dan sebagainya. Berapa ramai agaknya di kalangan bayi tersebut anak hasil jenayah rogol? Ibu yang dijadikan pemuas nafsu secara paksa terpaksa menanggung trauma dan menanggung beban emosi membawa zuriat perogol. Si perogol lepas bebas untuk mencari mangsa seterusnya.

Adakah sangat susah untuk penulis skrip dan pengarah menghasilkan drama yang memberi kesedaran kepada generasi muda tentang jelek dan buruknya natijah zina dan rogol? Susahkah untuk diselitkan adegan apa yang perlu dibuat oleh mangsa rogol supaya perogol tak terus lepas bebas mencari mangsa?

Sudah-sudahlah dengan plot cerita anak orang miskin jatuh cinta dengan CEO muda dan percintaan dihalang kerana perbezaan darjat. Tak muakkah dah berpuluh tahun plot yang lebih kurang sama? Juga tak perlu plot yang sangat rumit hingga penonton perlu termenung tiga hari tiga malam berfikir untuk memahami jalan cerita. Kebanyakan umat Melayu bukannya rajin berfikir. Cukuplah jika jalan cerita boleh memberi kesedaran dan bukan hiburan kosong semata-mata.

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply