Kembara Peniaga Jalanan

Ikram Al-Banjari tidak berasal daripada keluarga peniaga tetapi minatnya untuk berniaga membuak-buak sejak kecil. Ketika berusia sepuluh tahun, beliau menjual buah jambu bila saja ada acara di padang sekolah di hadapan rumahnya.

Pada usia 13 tahun, dia belajar berjualan di gerai Pak Man yang dibuka semasa Forum Perdana Ehwal Islam bersiaran langsung. Pak Man mengajarnya cara menarik minat pembeli mendapatkan lebih daripada satu produk.

Dia berkuli di kedai makan Abang Lan. Di sana, dia bukan saja belajar melayan pelanggan, tetapi juga belajar cara menyediakan air dan memasak juadah untuk pelanggan. Ada cara tertentu untuk memastikan air yang dibancuh sedap untuk diminum pelanggan. Kalau nak tahu rahsia membancuh secawan kopi yang sedap, dapatkan buku ini di sini. Sebahagian pengalaman di sini, bertahun kemudian digunakan untuk membuka rantaian warung Tu Dia! Char Kway Teow.

Semasa di universiti pun dia berniaga sambil belajar — khidmat basuh kereta dan kereta sewa untuk pelajar-pelajar antarabangsa.

Saya kagum dengan keberanian dan kesungguhannya belajar berniaga daripada berbagai orang untuk mengumpul ilmu untuk menjadi peniaga berjaya. Dia berguru dengan orang Kemboja, meneroka pasaran makanan laut, mengeksport udang ke Korea Selatan, berkuli dengan orang Filifina untuk memahami perniagaan tuna sebelum mengeksport tuna ke Jepun dan mengeksport ikan baulu ke negara Arab.

Membaca buku ini terasa seperti penulis sedang duduk berhadapan dan bercerita. Gaya bahasanya mudah dan bersahaja. Kesungguhan dan kental jiwanya menjadikan dia usahawan berjaya hari ini. Kalau anda mahu tahu bagaimana Ikram Al-Banjadi menjadi kaya-raya dengan berniaga di jalanan, anda wajib membaca buku ini.

Category: Book Reviews  Tags:
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply