Kenapa Kecoh Adegan Gay Dalam “Beauty and the Beast”?

Berapa umur anda sekarang? Selama anda hidup, sudah berapa banyak adegan merompak, membunuh, menipu, merogol, merasuah dsb yang anda tonton di kaca tv dan di layar perak? Agaknya sudah beratus kali. Agaknya sudah ratusan jam.

Kalau anda tak rasa adegan-adegan ini boleh merosakkan fikiran penonton dan tidak mempengaruhi mereka untuk merompak, membunuh, menipu, merogol, merasuah dsb, mengapa kecoh sangat mengenai adegan gay yang hanya beberapa saat dalam filem “Beauty and the Beast”?

Golongan pondan dan gay ini bukan perkara baru. Dah lama ada. Dah berpuluh tahun.

Memang betul. Bukan baru. Bukan setakat berpuluh tahun, semasa zaman Nabi Lut dulu pun ada.

Takkanlah lemah sangat iman sampai bila tengok adegan gay yang hanya beberapa saat itu pun kau boleh goyah dan nak ikut jadi gay.

Kalau itu hujah anda untuk mempertahankan adegan gay dalam filem “Beauty and the Beast”, anda sebenarnya tidak faham apa isu pokok di sini.

Kalau anda peka dengan perkembangan kempen pro LGBTQ di barat, anda tentu nampak satu trend dalam kempen mereka. Kalau anda faham trend ini, anda akan faham apa tujuan adegan gay yang hanya beberapa saat dalam “Beauty and the Beast”.


Adegan itu tidak bertujuan untuk menjadikan penontonnya gay. Anda yang straight tidak akan berubah menjadi gay selepas menonton adegan tersebut sebab memang bukan itu tujuannya.

Anak-anak anda yang menonton adegan gay yang hanya beberapa saat itu juga tidak akan membesar menjadi gay tetapi ia menyemai benih dalam fikiran anak-anak. Natijahnya bukan sejurus selepas menonton adegan yang hanya beberapa saat itu.

Benih yang ditanam di fikiran anak anda akan bercambah membentuk corak pemikiran mereka bahawa bahawa gay itu adalah perkara biasa. Cool. Tidak salah. Tidak songsang. Tak mengapa kalau lelaki suka lelaki, tak mengapa kalau perempuan suka perempuan. Tak mengapa kalau lelaki kahwin dengan lelaki, tak mengapa kalau perempuan kahwin dengan perempuan.

Tak mengapa kalau suami dan suami mahu mengupah perempuan menjadi ibu tumpang supaya mereka boleh merasakan pengalaman menjadi bapa. Tak mengapa kalau isteri dan isteri mahu mendapatkan penderma sperma supaya mereka juga boleh merasai pengalaman hamil, melahirkan dan menjadi ibu. Memang naluri manusia mahu zuriat dari darah daging sendiri.

Tujuan adegan yang hanya beberapa saat itu adalah untuk menjadikan biasa apa yang salah dan menjadikan normal apa yang tidak. The objective is desensitization and re-enforcement of an ongoing desensitization.

Adakah anda sekarang sedang menjuih bibir sambil berfikir, “Mokcik kolot yang sempit fikiran ni mengarut”? Kalau itu yang anda fikir, kita tunggu dan lihat apa akan jadi pada generasi akan datang. Tak mustahil pendapat saya salah.

Anak-anak ibarat kain putih yang suci bersih. Sebagai ibu bapa, anda yang mencorakkan mereka. Itu adalah amanah dan tanggung jawab yang akan ditimbang kira suatu hari nanti.

Beza antara ratusan jam adegan merompak, membunuh, menipu, merogol, merasuah dsb yang telah anda tonton dengan adegan gay yang hanya beberapa saat itu adalah di akhir cerita, si penjahat yang merompak, membunuh, menipu, merogol, merasuah dsb menerima balasan yang setimpal dengan perbuatannya. Gay yang cool itu tidak buat salah apa-apa maka tidak perlu menanggung akibat perbuatannya.

Kalau tak silap ingatan saya, Dostoyevsky yang pernah berkata: The absence of God justifies everything.

Ketiadaan Tuhan mewajarkan segalanya. Kalau anda tidak percaya Tuhan, maka hidup anda bebas daripada sebarang batasan dan kekangan. Anything goes.

Kalau anda percaya Tuhan, kalau anda percaya Tuhan Yang Maha Berkuasa telah mencipta setiap satu dalam alam semesta ini, kalau anda percaya Tuhan Yang Maha Mengetahui itu tahu apa yang baik dan buruk untuk makhluk ciptaanNya, maka tidakkah wajar setiap keputusan dalam kehidupan anda disandarkan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Mengetahui?

Atau adakah anda rasa Tuhan juga kolot dan sempit fikiran maka tak semua suruhan dan larangan Tuhan perlu dipatuhi?

Kubur masing-masing, maka pilihlah jalan yang sesuai dengan iman masing-masing.

Kalau yang bukan Muslim pun rasa gay moment ini tak sesuai untuk tontonan anak-anak, anda yang mengaku Muslim kenapa sangat galak mempertahankannya? Tercicir akal?

Berkaitan:
Gay moment in Beauty and the Beast ‘totally unnecessary’: National Council of Churches



Category: Malaysia  Tags: ,
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply