Peluang Kedua

Semua orang buat salah, tapi bukan semua orang layak dapat peluang kedua.

Kalau salah yang dia buat adalah mencuri atau menipu atau pecah amanah atau membunuh sekali pun, masih boleh dipertimbangkan untuk diberi peluang kedua. Mungkin juga boleh dimaafkan. Tapi salah yang dia buat adalah sesuatu yang melibatkan keselamatan kanak-kanak di sekelilingnya.

Masih ingat apa yang terjadi pada Nurin Jazlin? Jika anda ada anak atau anak saudara, adakah anda mahu ‘manusia’ seperti itu dekat dengan anak-anak anda?

Ya, dia sakit. Ya, dia perlukan bantuan dan rawatan. Memang patut dia dibantu dan diberi rawatan. Tetapi hakikatnya adalah sakit yang dia hidapi belum ada penawar dan rasanya belum ada dalam sejarah, sakit seperti itu berjaya disembuhkan 100%.

Ada yang bertanya, kenapalah perlu aibkan dia dengan menyiarkan gambarnya. Aib? Semasa dia buat apa yang dia buat, ada dia rasa malu? Dalam simpanannya adalah 30,000 gambar lucah kanak-kanak dan 600 video lucah kanak-kanak. Semua ibu bapa di Malaysia berhak kenal dan cam mukanya supaya mereka boleh buat semua yang perlu untuk pastikan anak-anak mereka selamat.

Ada yang kata, dia cuma simpan gambar dan video lucah. Bukannya dia perkosa dan rogol kanak-kanak. Tahukah anda bahawa anak-anak yang digunakan untuk tujuan tersebut dicuri daripada keluarga mereka, dirogol, didera, diseksa dan dikhayalkan dengan dadah? Mungkin dia sendiri tidak rogol atau dera kanak-kanak, tapi orang sepertinyalah yang menyuburkan industri yang meraih keuntungan melalui perkosaan dan penderaan kanak-kanak.

Tahukah anda di negara-negara barat, pesalah sepertinya dipantau selepas dibebaskan dari penjara dan dikenakan syarat tidak boleh dekat dengan kawasan yang ramai kanak-kanak, seperti sekolah, tadika dan taman permainan?

Anda mahu orang seperti dia diberi peluang kedua? Mudah untuk berkata begitu apabila yang dijadikan pemuas nafsu haiwan itu bukan anak anda. Jika anda sangat berhati mulia, pemaaf dan bersungguh-sungguh mahu mempertahankan beliau, anda berilah dia peluang kedua dengan menjadikan dia cikgu matematik anak-anak anda.




Berkaitan:

Category: Malaysia  Tags: , ,
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply