Perlukah Reformasi Sekolah Tahfiz?

Berita adik Thaqif yang terpaksa dipotong kakinya akibat kecederaan, kemungkinan setelah didera di sekolah tahfiz, mengundang simpati dan amarah orang ramai. Kes ini masih dalam siasatan polis.

Ramai bekas pelajar sekolah tahfiz dan ibu bapa yang pernah menghantar anak ke sekolah tahfiz tampil berkongsi berbagai cerita mengenai sekolah tahfiz. Kesimpulan yang saya buat daripada berbagai kisah yang saya baca adalah wujud sekolah tahfiz yang bagus, yang menggunakan pendekatan berhikmah dalam mendidik anak-anak. Ada juga sekolah yang menggunakan pendekatan yang sangat keras dan melampau dalam mendidik anak-anak.

Anak-anak ada bakat dan kelebihan masing-masing yang dianugerahkan Allah. Didik dan pupuklah anak-anak sesuai dengan bakat semulajadi mereka. Ada anak-anak yang cenderung dengan al-Quran — mudah membaca, menghafal dan memaham — memang sesuai dilatih menjadi hafiz.

Kadang saya tertanya-tanya kenapa ibu bapa sekarang kelihatan sangat ghairah mahu menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz? Tak kira apa yang kita buat, niat biar betul. Kalau anda hanya mahu berbangga anak anda yang baru berumur 10 tahun sudah boleh menghafal Quran, mungkin perlu dibetulkan niat itu.

Wajarkah anak-anak yang sangat muda (di bawah umur 12 tahun) dihantar ke sekolah berasarama? Bagi saya, anak-anak pada usia semuda itu lebih wajar menerima didikan di rumah, daripada ibu bapa sendiri. Tak kira betapa hebat guru di sekolah tahfiz, tak akan sama dengan kasih sayang ibu bapa sendiri.

Berapa ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak tinggal di asrama pergi melihat sendiri keadaan di asrama? Kalau pihak sekolah tidak membenarkan anda menjenguk asrama, tidakkah patut anda mempersoalkan kenapa tidak boleh? Adakah sesuatu yang mahu disembunyikan?


Adakah ibu bapa mengambil tahu apa makanan yang dihidangkan untuk anak-anak mereka? Anak-anak yang masih membesar perlu makanan yang seimbang dan berkhasiat. Bagaimana mereka akan tumbuh dan belajar dengan baik jika persekitaran mereka pincang?

Anak-anak tidak boleh selalu dimanjakan. Ada masa untuk berlembut, ada masa untuk bertegas, ada masa perlu dihukum. Ada masa mereka perlu dibiarkan merasa susah supaya bila dewasa mereka menjadi insan yang tabah dan kuat. Pada masa yang sama, perlu juga tahu beza bertegas dengan mendera. Hukuman perlu setimpal dengan kesalahan. Wajarkah anak dipukul sehingga birat kerana tidak dapat membereskan kuota hafalan?

Berbaloikah menjadikan anak anda hafiz dengan cara yang merosakkan jiwa dan perasaan mereka? Banggakah anda jika anak membesar menjadi seorang yang keras dan bengis, yang tiada rasa kasih sayang dan belas kasihan di hatinya kerana itulah cara dia dididik?

Berapa ramai agaknya anak-anak yang didera atau “dididik” dengan cara yang keras melampau itu, dalam diam membesar membenci agama?

Mereka mungkin tidak memberontak kerana telah sekian lama diajar supaya patuh kepada ibu bapa dan jangan membantah kalau tak mahu jadi anak derhaka, tetapi siapa yang tahu apa yang terbuku di lubuk hati mereka.

Bagi yang baca sirah nabi, pasti tahu bagaimana cara Rasulullah (s.a.w.) melayan dan menyantuni kanak-kanak. Adakah kita menggunakan pendekatan yang sama semasa mendidik anak-anak? Adakah guru-guru sekolah tahfiz yang anda amanahkan untuk mendidik anak-anak anda menjadikan sunnah nabi sebagai panduan semasa mendidik anak-anak anda? Andai kata Rasulullah (s.a.w.) masih ada bersama kita, adakah baginda akan setuju dengan pendekatan melampau keras yang diguna sesetengah sekolah tahfiz?

Ustaz ustazah yang berkelulusan bidang agama, yang hafal Quran, seharusnya punya akhlak yang lebih baik daripada orang lain. Kalau mereka jelek akhlaknya, apa lagi yang kita boleh banggakan dengan pendidikan agama?

Ramai ustaz ustazah yang baik dan ikhlas mahu mendidik anak-anak menjadi insan beriman. Tetapi ada juga yang jelek akhlaknya — walau pun sedikit, kita jangan jadi pembela kepada golongan setitik nila yang merosakkan susu sebelanga.

Ibu bapa sukakah anak mereka dididik oleh orang yang jelek akhlaknya, tak kiralah di sekolah tahfiz atau sekolah biasa?

Ibu bapa boleh bagi berbagai alasan untuk pertahankan ustaz ustazah yang kurang adab. Mungkin lupa ustaz ustazah yang dihadap anak-anak setiap harilah yang dijadikan contoh oleh anak-anak.

Anda mahu anak-anak anda membesar dengan akhlak sejelek ustaz ustazah yang mendidik mereka? Mungkin di fikiran anak-anak, “Ustaz aku dulu pun buat macam ni, apa salah aku buat benda yang sama?”

Ustaz ustazah yang kurang adab dan kurang baik akhlak tiada tempat di sekolah tahfiz. Orang yang jelek akhlak tidak akan dapat mendidik anak-anak anda menjadi Muslim yang hebat.

Adik Thaqif sudah meninggalkan kita. Perlukah kita tunggu sehingga satu lagi nyawa terkorban sebelum tindakan tegas dan pemantauan lebih ketat dikenakan ke atas sekolah-sekolah tahfiz untuk menjamin keselamatan dan kebajikan anak-anak?

Kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan mutu sekolah-sekolah tahfiz. Semua sekolah tahfiz mesti berdaftar supaya boleh dipantau. Perlu ada satu piawaian untuk sekolah tahfiz. Contoh: kemudahan minimum yang perlu ada di sekolah dan asrama, kelulusan dan kelayakan guru-guru, pemeriksaan latar belakang semua pekerja sekolah, siapa yang diberi hak menghukum pelajar dan apa hukuman yang setimpal dengan kesalahan.

Kalau anda benar cintakan Islam, takkan anda tega melihat nama Islam dibusukkan oleh segelintir yang tidak bertanggung jawab. Hentikan membela apa yang salah hanya kerana yang membuat onar adalah orang agama. Ustaz ustazah bukan nabi, maka mereka tidak maksum. Mereka pun buat silap, sama seperti kita.

Di bawah saya kongsi beberapa pendapat mengenai sekolah tahfiz.



Berkaitan:
Tulisan Diari Arwah Adik Thaqif Yang Dipukul Dengan Getah Paip Oleh Warden Tahfiz
Ramai Pertikai Kenapa Kaki Adik Thaqif Kena Potong

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.
One Response

Leave a Reply