Sihatkah Kompas Akhlak Anda?

Kompas akhlak — atau kata omputih moral compass.

Bagaimana anda menentukan sama ada sesuatu perkara itu baik atau buruk, betul atau salah? Kalau anda percaya Tuhan dan ada agama, penentuan itu dibuat mengikut ajaran agama anda. Kalau anda tidak percaya kewujudan Tuhan, kemungkinan besar keputusan itu dibuat mengikut citarasa dan trend semasa. Bak kata Dostoyevsky, “The absence of God justifies everything” (Ketiadaan Tuhan mewajarkan segalanya).

Ada tak sesiapa yang waras akal fikiran yang berpendapat menipu adalah perbuatan yang baik dan dibolehkan? Dalam keadaan apakah menipu dianggap baik dan dibolehkan? Jika seseorang terbukti menipu, adakah anda akan membela dan membenarkan penipuannya jika orang itu dekat dengan anda?

Mari kita jenguk sebentar maksud ayat Annisa:135

Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia (yang terdakwa) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatan (kebaikannya). Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka ketahuilah Allah Mahateliti terhadap segala apa yang kamu kerjakan.

Islam mengajak kita berlaku adil. Bila memberi kesaksian dan menjatuhkan hukuman, kita dituntut supaya berlaku adil walaupun yang dituduh dan diadili itu adalah orang yang dekat dengan kita atau orang yang kita sayangi. Jangan sesekali memutar belit kebenaran kerana mahu melindungi orang yang kita sayang.

Andaikan ada seorang tokoh yang terkenal dan disegani didapati berbohong mengenai kelulusan akademiknya. Andaikan dia menipu bahawa dia berkelulusan PhD dan setelah disiasat, didapati bahawa hal itu tidak benar. Adakah anda akan menutup mata dan memperkecilkan pembohongannya kerana selama ini dia telah membimbing dan membantu ramai orang untuk jadi usahawan berjaya?


Saya rasa sangat aneh melihat gelagat pengikut-pengikut seorang penceramah motivasi dan coach perniagaan yang bersungguh-sungguh membela penipuannya bila terbukti dia tiada ijazah PhD seperti yang diakuinya. Antara hujah untuk membelanya dan memperlekahkan penipuannya adalah:

  • Dia dah tolong ramai orang jadi usahawan berjaya, tak payahlah perbesarkan kelulusan akademiknya
  • Jangan kerana satu keburukannya, kita lupa segala kebaikan yang dia telah buat
  • Orang yang dah ada PhD pun belum tentu boleh jadi usahawan berjaya dan dapat tolong orang lain jadi usahawan berjaya
  • Gelaran Dr tu hiasan dunia sahaja, bukan boleh bawa mati.

Saya ulang soalan sebelum ini: Dalam keadaan apakan menipu dianggap baik dan dibolehkan? Adakah jika seseorang telah banyak membuat kebaikan, maka dia dibolehkan menipu? Adakah jika seseorang telah menolong ramai orang, maka kita boleh butakan mata dan maafkan penipuannya?

Ya, memang orang yang berkelulusan PhD pun belum tentu boleh bantu orang lain jadi usahawan berjaya. Kalau dia lebih hebat daripada orang berkelulusan PhD, mengapakah dia perlu menipu dan merendahkan dirinya ke tahap orang yang tak sehebat dirinya?

Memanglah gelaran dunia tak boleh bawa mati, maka tidakkah pelik orang yang sanggup menipu untuk menggunakan gelaran dunia yang tak boleh dibawa mati?

Apa sebenarnya tujuan dia mengaku berkelulusan PhD?

Steve Jobs was a college drop out — ini bukan rahsia. Dia mengaku dan semua orang tahu. Andai kata semasa hayatnya Jobs buat keputusan jadi penceramah dan bimbing orang ramai jadi usahawan berjaya, ada tak sesiapa yang berani ketawakan atau pelekehkan Jobs? Dijamin tak ada.

Kenapa? Sebab Jobs telah buktikan yang dia adalah usahawan berjaya (an understatement) melalui kejayaan syarikat dan produk-produknya. Maka apa saja yang dia cakap, boleh pakai.

Jobs tak perlu kelulusan PhD untuk jadi antara usahawan terkaya di dunia dan dia tak malu mengaku dia tak tamatkan pengajian di universiti. Itu jati diri orang yg hebat dan tahu nilai dirinya.

Sekali lagi saya ulang: Apa sebenarnya tujuan coach perniagaan yang hebat itu berbohong mengenai kelulusan akademiknya?

Kenapa ramai yang marah bila ada yang menipu berkelulusan PhD? Sebab jalan untuk membolehkan seseorang menerima ijazah PhD lalu layak menggunakan gelaran Dr bukan mudah. Hanya mereka yang telah berjaya tahu betapa kepayahan, keperitan dan dugaan yang perlu dilalui untuk lulus dan menerima ijazah.

Lulus program PhD bermakna orang itu telah berjaya memberikan sumbangan yang penting dalam bidang ilmu yang dikaji. Berbagai fasa kajian, ujikaji dan analisis perlu dilalui sebelum dapat menulis tesis dan kemudian mempertahankannya semasa sesi viva voce. Bukan semua orang yang melalui fasa-fasa ini berjaya ke garisan penamat. Tidak sedikit yang kecundang di tengah jalan.

Atas sebab ini, pada saya sangat kurang sopan dan tidak beradab sesiapa yang menipu berkelulusan PhD — kerana mereka mempersendakan budaya ilmu serta perit jerih golongan ilmuwan yang membangun dan memajukan ilmu.

Sihatkah kompas akhlak anda jika anda membela seorang penipu hanya kerana anda rasa si penipu telah banyak berjasa dan anda sendiri terhutang budi padanya? Apakah teladan yang anda tunjukkan kepada anak-anak anda apabila anda membela seorang penipu?

Berkaitan:
Tak Puas Hati Isu ‘PhD’ Azizan Osman, Netizen Email, Mesej & Call Universiti Di UK. Ini Hasilnya…

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply