Tag-Archive for » penderaan di sekolah tahfiz «

Perlukah Reformasi Sekolah Tahfiz?

Berita adik Thaqif yang terpaksa dipotong kakinya akibat kecederaan, kemungkinan setelah didera di sekolah tahfiz, mengundang simpati dan amarah orang ramai. Kes ini masih dalam siasatan polis.

Ramai bekas pelajar sekolah tahfiz dan ibu bapa yang pernah menghantar anak ke sekolah tahfiz tampil berkongsi berbagai cerita mengenai sekolah tahfiz. Kesimpulan yang saya buat daripada berbagai kisah yang saya baca adalah wujud sekolah tahfiz yang bagus, yang menggunakan pendekatan berhikmah dalam mendidik anak-anak. Ada juga sekolah yang menggunakan pendekatan yang sangat keras dan melampau dalam mendidik anak-anak.

Anak-anak ada bakat dan kelebihan masing-masing yang dianugerahkan Allah. Didik dan pupuklah anak-anak sesuai dengan bakat semulajadi mereka. Ada anak-anak yang cenderung dengan al-Quran — mudah membaca, menghafal dan memaham — memang sesuai dilatih menjadi hafiz.

Kadang saya tertanya-tanya kenapa ibu bapa sekarang kelihatan sangat ghairah mahu menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz? Tak kira apa yang kita buat, niat biar betul. Kalau anda hanya mahu berbangga anak anda yang baru berumur 10 tahun sudah boleh menghafal Quran, mungkin perlu dibetulkan niat itu.

Wajarkah anak-anak yang sangat muda (di bawah umur 12 tahun) dihantar ke sekolah berasarama? Bagi saya, anak-anak pada usia semuda itu lebih wajar menerima didikan di rumah, daripada ibu bapa sendiri. Tak kira betapa hebat guru di sekolah tahfiz, tak akan sama dengan kasih sayang ibu bapa sendiri.

Berapa ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak tinggal di asrama pergi melihat sendiri keadaan di asrama? Kalau pihak sekolah tidak membenarkan anda menjenguk asrama, tidakkah patut anda mempersoalkan kenapa tidak boleh? Adakah sesuatu yang mahu disembunyikan?

more »