Tak Mungkin Sezalim Firaun

Bila bercakap tentang keganasan rumah tangga dan penderaan isteri, pernah tak anda dengar nasihat begini: Isteri hendaklah sabar dan redho sebab tak mungkinlah si suami itu lebih zalim daripada Firaun.

Saya ada empat soalan untuk mereka yang memberi nasihat tersebut. Soalan pertama: Pernahkah anda melalui pengalaman dipukul dan disepak terajang sehingga lebam berdarah setiap hari?

Set soalan kedua: Kenapa Firaun yang dijadikan benchmark? Tak tergapai dek akal saya kenapa Firaun yang dijadikan contoh dan bukan akhlak Rasulullah s.a.w. yang dijadikan panduan. Apakah pesanan Rasulullah s.a.w. mengenai layanan terhadap wanita? Adakah baginda berpesan, berlaku zalimlah terhadap isterimu kerana kamu tidak mungkin lebih zalim daripada Firaun? Atau adakah baginda berpesan, yang terbaik di kalangan kamu adalah yang terbaik terhadap isterinya?

Saya selalu dengar isteri disuruh redho dan bersabar tetapi saya tidak pernah dengar suami dinasihati supaya ingat amanah dan tanggung jawab yang dipikul, atau diberi amaran tentang besarnya dosa menganiaya isteri.

Kalau pun seorang isteri yang redho dengan kezaliman suaminya mudah masuk syurga, seorang suami yang mengkhianati amanah dan tanggung jawab yang Allah pikulkan ke atas bahunya apabila dia menzalimi isteri, layakkah mencium bau syurga? Adakah anda mengira bahawa Allah tidak memerhati dan malaikat tidak mencatat setiap layanan buruk suami terhadap isteri?

Setelah suami menghadiahkan isteri dengan pukulan dan sepak terajang sehingga lebam berdarah, isteri itu jugalah yang dicari bila mahu bersedap-sedapan. Haiwan pun perangainya tak sehina itu.

Jika anak perempuan saya didera suami, perkara pertama yang saya buat adalah bawa dia untuk pemeriksaan doktor. Perkara kedua yang saya buat adalah bawa anak saya buat laporan polis. Perkara ketiga adalah bawa si suami untuk sesi kaunseling. Kalau si suami enggan mengikuti sesi kaunseling atau tidak mahu berubah, perkara keempat yang saya buat adalah bawa anak saya berjumpa peguam untuk menfailkan tuntutan cerai.

Kepada sesiapa yang berkata, tak cium bau syurga seorang isteri yang meminta cerai atau bergegar arasy bila isteri meminta cerai, sila berikan dalil sahih mengenai perkara ini. Sila juga kemukakan dalil sahih yang mengatakan suami yang mendera dan menzalimi isteri diberi ganjaran pahala yang besar dan layak masuk syurga.

Perempuan, tolong jangan jadi bodoh. Ada banyak jalan untuk ke jannah, tak perlu merelakan diri anda diperlakukan ibarat sampah tak berharga untuk masuk syurga.

Soalan ketiga kepada mereka yang menasihati isteri yang dizalimi supaya bersabar dan redho: Pernahkan anda terfikir kesan terhadap perkembangan anak-anak yang saban hari melihat ibu mereka didera olah bapa mereka?

Soalan terakhir: Pernahkah anda terfikir saham ke mana yang anda tempah apabila anda bersubahat meneruskan penganiayaan terhadap seorang isteri dan menggalakkan perangai buruk suami?

Pada saya, sesiapa yang menasihatkan isteri yang dizalimi supaya bersabar kerana tak mungkinlah suaminya lebih zalim daripada Firaun sangat sesuai dapat tapak kaki ke muka. Bodoh bebal yang tak boleh ditolong. Saya sangat sarankan mereka tonton video di bawah untuk kurangkan bangang.

Berkaitan:
Andainya Takdir – Kebaikan, Kebimbangan, dan Korban Seorang Isteri



You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.
One Response

Leave a Reply